Wednesday, March 12, 2014

Kehilangan MH370 : Komen Artis Yang Pernah Bertugas di Awan Biru

Misteri kehilangan pesawat MH370 menimbulkan banyak tanda tanya serta spekulasi daripada ramai pihak. Pihak GUA turut mendapatkan komen beberapa selebriti yang pernah berkhidmat di awan biru berhubung isu terkini yang mengundang kesedihan serta kerisauan rakyat Malaysia.

Sherry Ibrahim

Pernah berkhidmat sebagai pramugari selama tujuh tahun setengah untuk Qatar Airlines dan Malaysian Airlines, Sherry berpendapat misteri kehilangan pesawat MH 370 begitu mengejutkan. Sherry berharap agar rakyat Malaysia tidak membuat sebarang spekulasi dan mengharapkan yang terbaik untuk semua penumpang serta krew dalam pesawat tersebut.

“Kehilangan pesawat MH370 menimbulkan tanda tanya kerana tiada sebarang tanda yang boleh memberikan petunjuk, namun kita tidak seharusnya berhenti berharap dan mendoakan yang terbaik kepada semua penumpang serta krew pesawat tersebut.

Sebagai krew, kita bekerja sebagai satu kumpulan dan jika apa-apa terjadi mampu memberikan impak kepada kita. Salah seorang krew bagi pesawat MH370 iaitu Mohd Hazrin Mohamed Hasnan adalah kawan saya dan kali terakhir saya terserempak dengannya bersama keluarganya,” ujar Sherry.

Amy Mastura

Tidak pernah menghadapi saat genting sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai pramugari Malaysian Airlines, Amy Mastura percaya semua krew bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan ketika terbang di awan biru.

“Saya percaya mereka cukup sedia untuk menghadapi saat kecemasan, namun warga krew juga turut diberi taklimat sebelum terbang untuk bersedia dengan perkara di luar dugaan serta sebarang kecemasan.

Besar kemungkinan tak dapat berbuat apa-apa walaupun telah dilatih. Jika ada pilihan, saya pasti mereka telah melakukan yang terbaik. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak selamat kerana masih ada harapan. Kita hanya mampu mendoakan yang terbaik buat penumpang pesawat MH370,” katanya.

Raja Ilya

Pelakon ini begitu terkejut dengan berita kehilangan pesawat MH370 kerana hampir semua anak kapal dalam pesawat tersebut merupakan temannya. Raja Ilya yang pernah berkhidmat selama lima tahun dengan MAS, tidak menolak kemungkinan pesawat tersebut dirampas.

Malah, jauh di sudut hatinya, Raja Ilya yakin pesawat tersebut tidak meletup mahupun terhempas dan berharap kesemua penumpang dan anak kapal ditemui dan pulang dengan selamat.

“Saya sangat terkejut sehinggakan saya tak mampu pergi kerja pada hari pertama kehilangan pesawat tersebut. Dalam MAS, kami amalkan semangat ‘One Big Family’ di mana kesemua krew merupakan rakan baik. Saya berharap mereka pulang dengan selamat sebab saya yakin pesawat tersebut tidak terhempas mahupun meletup,” katanya.

Nazim Othman

Bagi Nazim pula, dia berharap pesawat tersebut dijumpai walau apa jua kemungkinan yang berlaku pada pesawat tersebut. Sebagai salah seorang bekas pramugara, Nazim meminta masyarakat menghentikan spekulasi tentang pesawat MH370 kerana ia menyukarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

“Saya pernah berkhidmat dengan MAS selama lima tahun dan sepanjang kerjaya saya sebagai pramugara, tiada peristiwa yang begitu menakutkan terjadi kepada saya. Kes ini sangat jarang berlaku dan saya harap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan menyukarkan proses mencari MH370. Sama ada terhempas atau selamat, saya harap pesawat ini dijumpai dan kes ini selesai dan tidak tergantung,” kongsi Nazim.
Post a Comment